Tuesday, 22 July 2014

Aku Merancang dengan Cita-Cita, Allah merancang dengan Cinta

بسم الله الرحمن الرحيم

Aku merancang dengan cita-cita, Allah merancang dengan cinta

Masya Allah, mendalam sungguh kata-kata tu. Amat terkesan dalam hati yang penuh harapan agar Allah titipkan hanya yang terbaik buatnya.

Kebelakangan ini aku sering diuji. Diuji dengan kesetiaan cinta kepada Sang Khaliq, juga kesetiaan pada hambaNya. Aku juga tidak terlepas dalam ujianNya yang membuat aku menilai dan terfikir kembali kedudukan dan peranan sebagai seorang tholibul ilm (pelajar). Ia sangat mengganggu fikiranku di kala aku sedar. Lalu menghantuiku di kala aku lena..

Allahu akbar! Dirasakan seolah dunia meminggirkan aku sejauh yang boleh. Aku sendiri. Ya. Semuanya ditanggung sendiri. Aku tak rela berkongsi duka dengan insan-insan di sekelilingku. Apatah lagi mereka yang amat aku sayangi. Biarlah aku mengadu pada Tuhanku sebelum aku meluah perasaan ini pada mereka. Sesungguhnya Dia lebih memahami; Dialah yang berkuasa membolak-balikkan hati manusia. Dia menguasainya. Segala-galanya adalah di atas ketentuanNya jua.
Jika aku harus menangis, biarlah aku mengalirkan air mataku di hadapannya dahulu. Aku tekad. Aku akan kembali kepadaNya dalam apa jua keadaan kerana kini aku sedar, Dialah penentu segala yang telah berlaku, apatah lagi yg bakal berlaku.

Hati.. usahlah terlalu merindui yang bukan milikmu. Cukuplah mendekatkan dirimu pada Allah dan mengenali agamamu. Banyak yang boleh kau perolehi wahai hati.  Ilmu boleh membawa kau jauh. Tapi cinta seorang hamba daif?  Hanya membuat kau hanyut...

Hati.. teruslah berdoa untuk apa yang kau inginkan. Bumi Allah ini luas, begitu juga ilmuNya.  Jika kau tidak diizinkan menimba ilmu dan pengalaman di sana, Allah tentu akan menggantikan dengan yang lebih baik buatmu.  Ketahuilah sesungguhNya Dia merancang dengan cinta dan kasih sayang yang tidak pernah berbelah bagi...  Kau taat pada perintahNya, kuatkan ikatan cintamu padaNya nescaya Dia akan lebih cinta padamu.  Percayalah wahai hati..

Hati, kau didiklah iman agar kita sama-sama dapat menundukkan nafsu ammarah yang berapi dalam diri ini tika rencana kita tidak menjadi.  Allah sentiasa bersama hambaNya. Dia merancang dengan cinta.. Apa yang terbaik buat kita belum tentu yang terbaik menurutNya.



----------------------------------




"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.." (Al-Baqarah : 216)


Yang ikhlas,
'Izzah Syauqina

No comments:

Post a Comment