Saturday, 21 November 2015

Gerangan Seorang Ibu; Mama

9hb Nov 2015
Tarikh bersejarah, menyaksikan aku melafazkan kata 'Mama' pada insan yang bakal menjadi ibu mertuaku.  Hati kegirangan kerana itu adalah satu alamat aku ikhlas diterima sebagai salah seorang daripada anak menantunya. Alhamdulillah Ya Rabb..

-----

Mama..
Terima kasih kerana sudi terima 'Izzah dalam keluarga mama dengan hati yang terbuka..  Mama tahu tak betapa jantung ni berdegup kegirangan masa pertama kali mama sambut 'Izzah dengan tangan terbuka? Pertama kali jumpa di rumah, pertama kali mama peluk cium 'Izzah tanda ukhuwah kami terjalin? Ya, 'Izzah tak pernah terfikir mama boleh terima 'Izzah sehangat tu..  Apalagi sebab 'Izzah gadis yang biasa-biasa saja.

'Izzah ingat kali pertama 'Izzah diajak berkunjung ke rumah mama. 'Izzah gugup luar biasa, takut kalau-kalau ahli keluarga lain akan menolak 'Izzah. Namun nyatanya ketakutan hanya ada dalam lingkaran kepala saja.

Saat kali pertama 'Izzah tiba, Sha ada menemani. Mama terus sambut kami dengan senyum mesra. Mama lah yang membuka bicara, memahami 'Izzah yang saat itu sedang dilanda kegugupan dan sungguh awkward walaupun Sha ada sama.

Kunjungan 'Izzah yang kedua dan seterusnya, mama tak pernah alpa untuk duduk bersama membicarakan itu-ini.  Kami berbuka puasa semeja dengan si pengarang hati yang kaki usik.

Sekali lagi.. terima kasih mama, sudi terima gadis biasa ni jadi sebahagiaan dari keluarga mama.

'Izzah memang gadis yang biasa-biasa saja.  Tak pandai memulas bedak dan mengoleskan gincu.. selera pakaian 'Izzah pun tak istimewa.  Selalu itu-itu saja.. tak mengikuti gaya berpakaian gadis zaman sekarang.

Untuk urusan dapur pula, 'Izzah pun biasa-biasa saja. Tak begitu pandai..  Maaf mama.. memang banyak kekurangan diri ni..  Sungguh tak sesuai dengan anak putra mama.

Kalau dibandingkan dengan gadis lain, 'Izzah memang kalah jauh sekali.  Tapi kalau nak dibandingkan kadar cinta 'Izzah pada si dia, mama tak perlu risau.  Insya Allah 'Izzah yakin dengan hati ni.  Ya, 'Izzah cintakan dia dari lipatan hati yang paling dalam.  'Izzah janji pada mama.. dengan segala kekurangan yang 'Izzah miliki, 'Izzah akan berusaha membahagiakan putra kesayangan mama.

'Izzah sedia belajar menjadi wanita teladan.  Semoga mama sudi membimbing 'Izzah jadi isteri yang solehah, yang istimewa di mata suami. Amiin!

Mama tak perlu risau.. esok saat hari istimewa 'Izzah dan dia tiba, putra kesayangan mama tidak akan pergi ke mana-mana.  Sebab mama bintang hati dia yang utama.  'Izzah yang biasa-biasa saja.  'Izzah akan ada di samping dia untuk sama-sama jaga mama, dan bina keluarga sakinah, insya Allah.

Ya, kami akan saling mengucap janji sehidup semati di depan ratusan pasang mata.  Kami akan saling memautkan jemari hingga usia kami senja, insya Allah. 'Izzah akan menjadi teman hidupnya yang akan selalu menemani dan sedia di sampingnya.  Menemaninya melewati masa-masa suka mahupun duka dalam kehidupan.  Ya, 'Izzah janji akan selalu ada di sisinya dalam kesenangan mahupun kesusahan.

Mama, 'Izzah mohon doanya..

Dariku,
Gadis sederhana yang sudah siap mendampingi hidup putra kesayanganmu.

Yang ikhlas,
'Izzah Syauqina

Friday, 20 November 2015

Alfatihah Buatmu

Bismillah..

Semua orang akan diuji Tuhan, semua orang akan merasai kehilangan. Kesakitan kehilangan orang tersayang yang selalu disisi, dihati dan menemani jiwa hari-hari. Namun bila sampainya hari Tuhan ambil dia semula, kita akan rasa satu dentuman halilintar yang memecah gunung-ganang. Sakit.

Namun sebenarnya kenangan dengan mereka itulah kekuatan. Ingatan itu mampu buat kita berdoa untuk dia, sebab dia ada dalam jalur masa hidup kita yang indah dulu. 

Rasullullah saw juga diuji kehilangan orang tersayang. Dua orang dalam tempoh berdekatan. Namun beliau redha dan mengetahui betapa besar nilai ganjaran mereka bersabar & betapa sayang Allah kepada beliau.

Kalau rindu sangat, apa kita kena buat? Paling penting kita kena sedar yang dia pergi menghadap Tuhan DIA, Tuhan kita juga.. yang kita juga akan temui nanti. Lepas tu, kita kena sibuk-sibukkan diri.. mesti dia tak nak kita bersedih dan menyalahkan takdir kan? Jadi kita kena kuat. Jangan terlalu bersedih..

Apa pula kita buat bila kehilangan orang tersayang?

Pertama :

Paling utama ialah kita perlu ingat dan percaya bahawa kematian adalah pasti untuk setiap insan. Sama ada cepat atau lambat, kematian pasti datang.
Bila? Di mana?
Bagaimana cara atau apa sebabnya?
Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

"Fa innal mautal lazi tafirruna minhu fainnahu mulaqikum"
Maka sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya itu pasti datang menemui mu.

"Kullu nafsin zaaiqatul maut"
Setiap jiwa akan merasai mati..

Allah swt berfirman, “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada Hari Kiamat sajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga, maka sesungguhnya ia sudah berjaya. Dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya.” - Ali Imran; 185

Kedua:

Kita boleh menangis kerana kehilangan tetapi jangan sampai kita tidak merelakan pemergiannya. Tidak merelakan bererti kita melawan takdir Ilahi, nauzubillah.

Orang yang bersabar menghadapi kematian adalah orang yang sentiasa berada di bawah perlindungan Allah.

“Orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan pelbagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya. Dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayahNya.”  - Al-Baqarah; 156-157

Ketiga:

Jangan fikirkan kesusahan yang bakal kita tempuhi di dalam hidup kerana kehilangannya sebaliknya fikirkan bagaimanakah caranya untuk kita meneruskan kehidupan setelah pemergiannya. Ingat! Allah dah janjikan rezeki yang tersendiri untuk setiap makhluknya yang hidup di muka bumi ini. Kita hanya perlu berusaha, ikhtiar dan tawakkal, insyaAllah ada rezeki yang datang kepada kita.

Keempat:

Tunaikan hasrat si mati. Jika kita mempunyai impian bersama untuk sesuatu, jangan jadikan kematian pasangan kita sebagai alasan untuk kita menguburkan impian tersebut. Sebaliknya kita perlu tabahkan hati dan kuatkan semangat untuk menunaikan impian dan hasrat arwah. Insya Allah, rohnya akan turut gembira bila impiannya ditunaikan oleh kita.

Kelima:

Jangan kecewakan roh si mati.
Yang penting, kehidupan selepas kematian itu ada. Bermula di alam kubur seterusnya di akhirat setelah berlakunya kiamat. Tiada jaminan selamat daripada seksaan kubur melainkan si mati membawa bersamanya amal soleh.
“Demi Allah, seandainya jenazah yang sedang kamu tangisi boleh berbicara, lalu menceritakan (pengalaman sakaratul mautnya) pada kamu sekelian, nescaya kamu akan melupakan jenazah tersebut, dan mulai menangisi diri kamu sendiri”. - Imam Ghazali, daripada Al-Hasan

Cakap memang mudah, nak buat sangatlah payah. Tapi tak gerak, tak buat, macam mana semua benda nak jadi lebih baik? Jadi pandanglah ke depan dengan 1001 perasaan yang penuh keredhaan. Yang pergi sudah pun pergi. Kita yang hidup ni, tak tahu bila pula nanti.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
Dari Abdullah r.a katanya: Telah bersabda Rasulullah SAW: “Siapa yang mengucapkan takziah kepada orang yang ditimpa musibah, maka dia memperoleh pahala seperti pahala orang yang mendapat musibah.” - Riwayat Ibnu Majah

REDHA , REDHA, REDHA.
Semoga kuat..

Nota untuk diri:  Ujian ini adalah tanda Allah sayang kita, meningkatkan iman kita dan menghapuskan dosa-dosa kita. Insya Allah, kita boleh. Semoga kuat menghadapi hari-hari muka, jauh dari ahli keluarga :)

20 Nov 2015
Alfatihah buat Hj Mohammad bin Ibrahim,
dan seluruh umat Islam

Tok, kita dah makin jauh.. I'll visit you when I come home. And I'll see you again there insya Allah. We'll take good care of your brother.. don't you worry. Semoga tenang bersama para syuhada' dan solihin.. Amiin!

Yang ikhlas,
'Izzah Syauqina

Tuesday, 17 November 2015

Pohon Semalu

"Pohon semalu. Pantang disentuh pasti menunduk sopan, tapi durinya tetap tajam berceracakan."

"Tapi pohon semalu tumbuh melata di atas tanah, susah saya nak main bola. Biasanya ia tumbuh di tengah padang."

"Cuba kita bawa minda kita sejenak ke padang bola. Susah nak nampak pohon semalu kat situ kan? Pohon semalu kan pemalu.. ia takkan hidup lama di tempat banyak lelaki tu. Ia akan cari pinggir yg tersembunyi dan jarang dipijak orang untuk tumbuh subur. Takkan menyusahkan orang, insya Allah."

"Durinya tajam! Saya dah pernah terpijak. Itu tak dinamakan menyusahkan orang?"

"Orang yg pijak duri semalu tu, orangnya tak pakai selipar. Dia tak pandai nak berhati-hati.. padanlah mendapat ikhtibar daripada pohon semalu."

"Ada satu lagi soalan.. kenapa pohon semalu sering dibuang orang? Contohnya, di taman mak saya, bila dia nampak ada pohon semalu tumbuh, cepat-cepat dibersihkan daripada taman tu."

"Apa nak hairan jika sesuatu itu kelihatan terbuang? Lihat Rasulullah, kerana Islam, Baginda terbuang dan dimusuhi. Namun, andai ada seorang manusia yg membuang Baginda, berpuluh-puluh yg lain menyayanginya. Kenapa? Kerana Baginda dibela istimewa di hati pendinta Allah dan RasulNya. Pandangan Allah paling utama bukan pandangan manusia.

Ikhtibarnya, biarlah semua manusia membuang kita asalkan kita tetap berjaya memenangi pandangan Allah azza wajalla. Kita hidup pada akhir zaman, Islam kembali dagang seperti zaman Rasulullah s.a.w mula-mula bawa Islam. Oleh itu, tak hairanlah jika kebenaran sering nampak terbuang dan terasing. Islam dagang buat kali kedua. Rasulullah dah pernah lalui buat kali pertama.

Pohon semalu, memang pemalu. Sifat malu lambang keindahan dan kemuliaan wanita bermaruah. Hakikatnya, malu bukan hanya untuk wanita. Tetapi untuk lelaki juga. Bukankah Rasulullah s.a.w pemalu orangnya?
Daripada Sa'id Al-Khudri katanya:
كان رسول الله أشد حياء من العذراء في خدرها وكان إذا رأى شيئا يكرهه عرفناه في وجهه
'Baginda Rasulullah adalah seorang yg sangat pemalu lebih daripada seorang dara dalam kelubungnya dan apabila melihat sesuatu yg tidak disukai Baginda, nescaya kami dapat camkan yg demikian itu daripada wajah Baginda.' - Hadith riwayat Muslim

Malu juga melambangkan nilai keimanan dan kesusilaan.
Sabda Rasulullah s.a.w:
الحياء والإيمان قرناء جميعا فإذا رفع أحدهما رفع اﻷخر
'Malu dan iman itu adalah teman seiring jalan. Jika yg satu diangkat nescaya terangkat pula yg satu lagi.'
- Hadith riwayat Malik

Dalan hadith yg lain, Baginda bersabda,
إن لكل خلقا وخلق الإسلام الحياء
'Sesungguhnya bagi tiap-tiap agama itu ada ciri-ciri kesusilaan maka untuk Islam ialah sifat malu.'
Hebat sifat malu kan?"

"Tapi, cikgu selalu pesan, jangan malu bertanya dalam kelas."

"Perlu difahami, kita tak perlu malu dalam menuntut ilmu dan menegakkan kebenaran Allah. Malu yg saya maksudkan adalah malu bertempat. Malu untuk menjadi wanita yg rosak akhlaknya iaitu yg hanya pandai menggoda lelaki bukan mahramnya. Selain itu, malu untuk melakukan maksiat. Pendek kata malu pada Allah dan Rasul untuk mengingkari perintahNya dan melakukan laranganNya.

Bagi si pohon semalu, bersama sifat malunya ada duri yg tajam berbisa. Duri itu simbolik untuk sebuah perjuangan yg lahir daripada iman. Duri itu ibarat senjata yg mahu meruntuhkan semua kemungkaran yg ada. Itulah senjata buat seorang mujahidah.

Pohon semalu juga mengeluarkan bunga ungu yg cantik. Begitulah juga wawasan seorang mujahidah. Dia ingin menghiasi alam dengan haruman bunga-bungaan akhlak yg cantik menawan.

Selain itu, dedaun yg menghijau pada pohon semalu sangat erat pertaliannya antara satu sama lain. Apabila sehelai daun disentuh, daun-daun di tepinya turut tertutup malu. Tindakbalas daun-daun itu lambang persaudaraan dan kasih sayang. Begitulah seorang mujahidah, dia perlu memandang semua orang dengan kaca mata dakwah untuk membawa seseorang itu mencintai Allah dan RasulNya.

Indahnya jika dapat membawa seseorang rasa bahagia dengan cara hidup Islam yg sebenar. Kerja ini sepatutnya terpikul pada semua orang yg mengaku beriman. Moga Allah sudi memilih kita semua untuk memikul tugas berat ini.

Dalam serangkap hadith Rasulullah s.a.w yg cukup indah.. katanya,
الحياء خير كله
'Malu itu baik semuanya.'
- Hadith riwayat Bukhari

______________________________

Yang ikhlas,
'Izzah Syauqina