Friday, 20 November 2015

Alfatihah Buatmu

Bismillah..

Semua orang akan diuji Tuhan, semua orang akan merasai kehilangan. Kesakitan kehilangan orang tersayang yang selalu disisi, dihati dan menemani jiwa hari-hari. Namun bila sampainya hari Tuhan ambil dia semula, kita akan rasa satu dentuman halilintar yang memecah gunung-ganang. Sakit.

Namun sebenarnya kenangan dengan mereka itulah kekuatan. Ingatan itu mampu buat kita berdoa untuk dia, sebab dia ada dalam jalur masa hidup kita yang indah dulu. 

Rasullullah saw juga diuji kehilangan orang tersayang. Dua orang dalam tempoh berdekatan. Namun beliau redha dan mengetahui betapa besar nilai ganjaran mereka bersabar & betapa sayang Allah kepada beliau.

Kalau rindu sangat, apa kita kena buat? Paling penting kita kena sedar yang dia pergi menghadap Tuhan DIA, Tuhan kita juga.. yang kita juga akan temui nanti. Lepas tu, kita kena sibuk-sibukkan diri.. mesti dia tak nak kita bersedih dan menyalahkan takdir kan? Jadi kita kena kuat. Jangan terlalu bersedih..

Apa pula kita buat bila kehilangan orang tersayang?

Pertama :

Paling utama ialah kita perlu ingat dan percaya bahawa kematian adalah pasti untuk setiap insan. Sama ada cepat atau lambat, kematian pasti datang.
Bila? Di mana?
Bagaimana cara atau apa sebabnya?
Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

"Fa innal mautal lazi tafirruna minhu fainnahu mulaqikum"
Maka sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya itu pasti datang menemui mu.

"Kullu nafsin zaaiqatul maut"
Setiap jiwa akan merasai mati..

Allah swt berfirman, “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada Hari Kiamat sajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga, maka sesungguhnya ia sudah berjaya. Dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya.” - Ali Imran; 185

Kedua:

Kita boleh menangis kerana kehilangan tetapi jangan sampai kita tidak merelakan pemergiannya. Tidak merelakan bererti kita melawan takdir Ilahi, nauzubillah.

Orang yang bersabar menghadapi kematian adalah orang yang sentiasa berada di bawah perlindungan Allah.

“Orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan pelbagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya. Dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayahNya.”  - Al-Baqarah; 156-157

Ketiga:

Jangan fikirkan kesusahan yang bakal kita tempuhi di dalam hidup kerana kehilangannya sebaliknya fikirkan bagaimanakah caranya untuk kita meneruskan kehidupan setelah pemergiannya. Ingat! Allah dah janjikan rezeki yang tersendiri untuk setiap makhluknya yang hidup di muka bumi ini. Kita hanya perlu berusaha, ikhtiar dan tawakkal, insyaAllah ada rezeki yang datang kepada kita.

Keempat:

Tunaikan hasrat si mati. Jika kita mempunyai impian bersama untuk sesuatu, jangan jadikan kematian pasangan kita sebagai alasan untuk kita menguburkan impian tersebut. Sebaliknya kita perlu tabahkan hati dan kuatkan semangat untuk menunaikan impian dan hasrat arwah. Insya Allah, rohnya akan turut gembira bila impiannya ditunaikan oleh kita.

Kelima:

Jangan kecewakan roh si mati.
Yang penting, kehidupan selepas kematian itu ada. Bermula di alam kubur seterusnya di akhirat setelah berlakunya kiamat. Tiada jaminan selamat daripada seksaan kubur melainkan si mati membawa bersamanya amal soleh.
“Demi Allah, seandainya jenazah yang sedang kamu tangisi boleh berbicara, lalu menceritakan (pengalaman sakaratul mautnya) pada kamu sekelian, nescaya kamu akan melupakan jenazah tersebut, dan mulai menangisi diri kamu sendiri”. - Imam Ghazali, daripada Al-Hasan

Cakap memang mudah, nak buat sangatlah payah. Tapi tak gerak, tak buat, macam mana semua benda nak jadi lebih baik? Jadi pandanglah ke depan dengan 1001 perasaan yang penuh keredhaan. Yang pergi sudah pun pergi. Kita yang hidup ni, tak tahu bila pula nanti.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
Dari Abdullah r.a katanya: Telah bersabda Rasulullah SAW: “Siapa yang mengucapkan takziah kepada orang yang ditimpa musibah, maka dia memperoleh pahala seperti pahala orang yang mendapat musibah.” - Riwayat Ibnu Majah

REDHA , REDHA, REDHA.
Semoga kuat..

Nota untuk diri:  Ujian ini adalah tanda Allah sayang kita, meningkatkan iman kita dan menghapuskan dosa-dosa kita. Insya Allah, kita boleh. Semoga kuat menghadapi hari-hari muka, jauh dari ahli keluarga :)

20 Nov 2015
Alfatihah buat Hj Mohammad bin Ibrahim,
dan seluruh umat Islam

Tok, kita dah makin jauh.. I'll visit you when I come home. And I'll see you again there insya Allah. We'll take good care of your brother.. don't you worry. Semoga tenang bersama para syuhada' dan solihin.. Amiin!

Yang ikhlas,
'Izzah Syauqina

No comments:

Post a Comment