Tuesday, 17 November 2015

Pohon Semalu

"Pohon semalu. Pantang disentuh pasti menunduk sopan, tapi durinya tetap tajam berceracakan."

"Tapi pohon semalu tumbuh melata di atas tanah, susah saya nak main bola. Biasanya ia tumbuh di tengah padang."

"Cuba kita bawa minda kita sejenak ke padang bola. Susah nak nampak pohon semalu kat situ kan? Pohon semalu kan pemalu.. ia takkan hidup lama di tempat banyak lelaki tu. Ia akan cari pinggir yg tersembunyi dan jarang dipijak orang untuk tumbuh subur. Takkan menyusahkan orang, insya Allah."

"Durinya tajam! Saya dah pernah terpijak. Itu tak dinamakan menyusahkan orang?"

"Orang yg pijak duri semalu tu, orangnya tak pakai selipar. Dia tak pandai nak berhati-hati.. padanlah mendapat ikhtibar daripada pohon semalu."

"Ada satu lagi soalan.. kenapa pohon semalu sering dibuang orang? Contohnya, di taman mak saya, bila dia nampak ada pohon semalu tumbuh, cepat-cepat dibersihkan daripada taman tu."

"Apa nak hairan jika sesuatu itu kelihatan terbuang? Lihat Rasulullah, kerana Islam, Baginda terbuang dan dimusuhi. Namun, andai ada seorang manusia yg membuang Baginda, berpuluh-puluh yg lain menyayanginya. Kenapa? Kerana Baginda dibela istimewa di hati pendinta Allah dan RasulNya. Pandangan Allah paling utama bukan pandangan manusia.

Ikhtibarnya, biarlah semua manusia membuang kita asalkan kita tetap berjaya memenangi pandangan Allah azza wajalla. Kita hidup pada akhir zaman, Islam kembali dagang seperti zaman Rasulullah s.a.w mula-mula bawa Islam. Oleh itu, tak hairanlah jika kebenaran sering nampak terbuang dan terasing. Islam dagang buat kali kedua. Rasulullah dah pernah lalui buat kali pertama.

Pohon semalu, memang pemalu. Sifat malu lambang keindahan dan kemuliaan wanita bermaruah. Hakikatnya, malu bukan hanya untuk wanita. Tetapi untuk lelaki juga. Bukankah Rasulullah s.a.w pemalu orangnya?
Daripada Sa'id Al-Khudri katanya:
كان رسول الله أشد حياء من العذراء في خدرها وكان إذا رأى شيئا يكرهه عرفناه في وجهه
'Baginda Rasulullah adalah seorang yg sangat pemalu lebih daripada seorang dara dalam kelubungnya dan apabila melihat sesuatu yg tidak disukai Baginda, nescaya kami dapat camkan yg demikian itu daripada wajah Baginda.' - Hadith riwayat Muslim

Malu juga melambangkan nilai keimanan dan kesusilaan.
Sabda Rasulullah s.a.w:
الحياء والإيمان قرناء جميعا فإذا رفع أحدهما رفع اﻷخر
'Malu dan iman itu adalah teman seiring jalan. Jika yg satu diangkat nescaya terangkat pula yg satu lagi.'
- Hadith riwayat Malik

Dalan hadith yg lain, Baginda bersabda,
إن لكل خلقا وخلق الإسلام الحياء
'Sesungguhnya bagi tiap-tiap agama itu ada ciri-ciri kesusilaan maka untuk Islam ialah sifat malu.'
Hebat sifat malu kan?"

"Tapi, cikgu selalu pesan, jangan malu bertanya dalam kelas."

"Perlu difahami, kita tak perlu malu dalam menuntut ilmu dan menegakkan kebenaran Allah. Malu yg saya maksudkan adalah malu bertempat. Malu untuk menjadi wanita yg rosak akhlaknya iaitu yg hanya pandai menggoda lelaki bukan mahramnya. Selain itu, malu untuk melakukan maksiat. Pendek kata malu pada Allah dan Rasul untuk mengingkari perintahNya dan melakukan laranganNya.

Bagi si pohon semalu, bersama sifat malunya ada duri yg tajam berbisa. Duri itu simbolik untuk sebuah perjuangan yg lahir daripada iman. Duri itu ibarat senjata yg mahu meruntuhkan semua kemungkaran yg ada. Itulah senjata buat seorang mujahidah.

Pohon semalu juga mengeluarkan bunga ungu yg cantik. Begitulah juga wawasan seorang mujahidah. Dia ingin menghiasi alam dengan haruman bunga-bungaan akhlak yg cantik menawan.

Selain itu, dedaun yg menghijau pada pohon semalu sangat erat pertaliannya antara satu sama lain. Apabila sehelai daun disentuh, daun-daun di tepinya turut tertutup malu. Tindakbalas daun-daun itu lambang persaudaraan dan kasih sayang. Begitulah seorang mujahidah, dia perlu memandang semua orang dengan kaca mata dakwah untuk membawa seseorang itu mencintai Allah dan RasulNya.

Indahnya jika dapat membawa seseorang rasa bahagia dengan cara hidup Islam yg sebenar. Kerja ini sepatutnya terpikul pada semua orang yg mengaku beriman. Moga Allah sudi memilih kita semua untuk memikul tugas berat ini.

Dalam serangkap hadith Rasulullah s.a.w yg cukup indah.. katanya,
الحياء خير كله
'Malu itu baik semuanya.'
- Hadith riwayat Bukhari

______________________________

Yang ikhlas,
'Izzah Syauqina

No comments:

Post a Comment