Peranan wanita tidak sekadar pemuas nafsu atau penyambung keturunan dan pengurus rumah tangga semata-mata. Malah, peranan wanita jauh lebih luas skopnya dalam perspektif Islam; agama pembela kaum wanita.
Alangkah jahilnya apabila ada sesetengah orang yang berpendapat bahawa nasib dan gerakan wanita Islam adalah lambat dan terhad, malah dikekang oleh akidah Islamiyah.
Benarkah Islam itu mengehadkan ruang gerak kerja wanita, atau Islam memberikan panduan ke arah matlamat gerakan wanita yang sebenar?
Islam datang mengangkat darjat dan mengiktiraf peranan wanita. Lantaran itu, setiap wanita haruslah kembali menghayati Islam.
Sesungguhnya untuk kembali menghayati Islam, kita perlu kembali kepada madrasah Rasulullah SAW, iaitu proses aawl tarbiah Islamiyah (pendidikan) yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW di bawah petunjuk Ilahi, bukan selainNya. Asas untuk memperbaiki ummah ialah dengan memperbaiki usrah (keluarga) dan permulaan untuk memperbaiki usrah ialah dengan memperbaiki individu termasuklah wanita. Usrah akan sempurna apabila wanita sedar akan peranannya.
Wanita disebut al-asatizatul alam (mahaguru alam), iaitu mahaguru yang mula-mula sekali berperanan untuk mendidik generasi kita (atau mana-mana generasi sekalipun). Wanita yang tangannya mengayun buaian mampu menggegarkan dunia. Sehingga ada ungkapan yang mengatakan wanita itu sungguh mempengaruhi hidup manusia; seorang ibu itu memerlukan 20 tahun untuk mendidik anaknya tetapi seorang wanita jahat hanya memerlukan 20 saat untuk menggoda dan menjatuhkan seorang lelaki.
Bagi seorang wanita bergelar Muslimah sejati pula, dia tidak pernah lari dan lalai dalam mengikuti sistem Islam dalam keadaan apa sekalipun walaupun terasing dan terbuang. Dia tidak membiarkan hawa nafsunya lepas bebas laksana seekor haiwan liar sebagaimana wanita barat, melainkan memagarinya dengan lunas-lunas Islam yang agung dan luhur. Wanita Islam yang berkualiti seperti itulah wanita sebenar yang mampu mencabar tamadun Barat yang sekular itu. Di tangannya penentu jaya dan tidaknya sesuatu bangsa atau baik buruknya akhlak sesuatu kaum. Runtuhnya akhlak mereka penentu runtuhnya sesuatu kaum.
Sebagai pendidik alam ini, setiap wanita perlulah melalui proses Tarbiah Islamiyah dan jika tidak terlaksana proses ini maka malanglah generasi Islam kerana mendapat didikan daripada wanita-wanita yang tidak mempunyai persiapan Islam.
Oleh itu, wanita perlu memahami peranan mereka kerana kesannya amatlah mendalam yang mana mereka mampu memperbaiki masyarakat sekiranya dihalakan matlamat ke sana. Justeru, setiap wanita hendaklah memperbaiki diri dengan mendidik hati sanubari semoga mendapat asas untuk memperbaiki keluarga serta orang lain dengan fikrah Islam sebenar yang tulus suci. Tarbiah yang dimaksudkan perlu diperjelaskan maksudnya agar tidak mendapat perspektif yang sukar dan samar di minda wanita.
Matlamat utama tarbiah adalah untuk melahirkan insan yang meletakkan Allah sebagai Rabb (Tuhan) dan penyembahan kepadaNya adalah mutlak, hanya kepadaNya, bukan selainNya. Pendek kata, melahirkan insan yang hidupnya hanyalah untuk Allah sehingga setiap urusannya dan urusan masyrakat ditadbir dengan hukum-hukum Allah. Persiapan inilah yang perlu meresap ke naluri wanita, malah setiap insan sepatutnya. Tarbiah pula ialah penggunaan cara atau pendekatan yang paling berkesan untuk berinteraksi dengan fitrah manusia dan menambat hati mereka dengan cara hidup Islam sesuai dengan kemampuan dan uslub (cara) masing-masing. Begitulah mudahnya tarbiah dan mampu dilaksanakan oleh setiap wanita secara psikologi sebagai mahaguru alam.
Sesungguhnya wanita memang benar-benar mendapat tempat yang mulia, dihormati dan disanjung tinggi oleh Islam. Pengurniaan taraf wanita ini memang tercatat dalam Al-Quran dan As-Sunnah iaitu pengurniaan daripada Allah dan RasulNya.
Daripada Bilal bin Rabbah r.a, katanya, "Pada suatu hari aku menyaksikan Rasulullah SAW membuat empat garis di atas bahu sambil berkata bahawa wanita yang paling mulia di syurga ialah Khadijah binti Khuwailid, Fatimah Az-Zahra binti Muhammad, Mariam binti Imran dan Asiah isteri Firaun."
Inilah sebenarnya srikandi terunggul yang harus diletakkan ke depan sebagai contoh teladan dalam rangka kita kembali kepada hakikat Islam. Srikandi-srikandi ini benar-benar berperanan sebagai wanita solehah yang mukminah sepanjang hidupnya. Justeru, wajarlah sirah srikandi-srikandi ini dibaca, difahami, dihayati, dan dicontohi agar peranan agung mereka dalam pembentukan ummah tetap diwarisi oleh wanita-wanita solehah setiap zaman.
Skop peranan wanita adalah luas meliputi peranannya sebagai
• anak solehah (baik - penyejuk mata orang tua),
• isteri a'qilah (bijak - menambat hati suami),
• ibu mithaliah (contoh - ikutan yang baik buat anak-anak),
• hamba Allah mu'tiah (taat - patuhi suruhan dan jauhi laranganNya),
• individu Muslimah (berperibadi Islam - membaiki diri dan menunaikan kewajipan seorang Muslimah serta disulami bunga-bunga akhlak yang menawan) serta
• mujahidah mukminah (menyumbang kepada tertegaknya Islam dimuka bumi).
Setiap wanita perlu menghayati peranan-peranan ini sebagai elemen yang saling berkaitan dan satu kewajipan yang perlu dilaksanakan secara serentak. Maka, sudah tentu peranan-peranan ini perlu dilaksanakan oleh seorang wanita sepanjang hidupnya.
- Seindah Mawar Berduri
Yang ikhlas,
'Izzah Syauqina